Assalamualaikum..Seperti
yang semua kita tahu bulan Syaaban merupakan bulan kedua selepas Rejab yang
penuh dengan keberkatan. Sebahagian ahli hikmah menyatakan bahawa sesungguhnya
bulan Rejab adalah kesempatan untuk meminta ampun dari segala dosa, pada bulan
Syaaban adalah kesempatan untuk memperbaiki diri dari segala macam cela dan
pada bulan Ramadhan adalah masa untuk menerangkan hati dan jiwa. Oleh itu,
tidak hairanlah ramai sahabat yang beragama Islam berlumba- lumba untuk
mengerjakan Ibadah di Bulan Syaaban…
(Dari Kitab Kelebihan
Rejab, Sya`ban, Ramadhan, Ustaz Budiman Radhi)
1. Sabda Nabi s.a.w
bermaksud: Apabila masuk bulan sya`ban, baikkanlah niatmu padanya, kerana
kelebihan sya`ban atas segala bulan seperti kelebihanku atas kamu.(Al-hadis)
2. Barangsiapa berpuasa
sehari pada bulan sya`ban, diharamkan Allah tubuhnya dari api neraka . Dia akan
menjadi teman nabi Allah Yusuf a.s. di dalam syurga. Diberi pahala oleh Allah
seperti pahala nabi Allah Ayob a.s dan nabi Daud a.s. Jika dia sempurnakan
puasanya sebulan bulan sya`ban, dimudahkan Allah atasnya sakratul maut dan
ditolakkan (terlepas) daripadanya kegelapan di dalam kubur, dilepaskan daripada
huruhara Munkar dan Nakir, ditutup Allah keaibannya di hari Qiamat, dan
diwajibkan Syurga baginya.(Al-hadis)
3. Barangsiapa berpuasa
pada awal hari khamis pada bulan sya`ban dan akhir khamis daripada sya`ban,
dimasukkan dia ke dalam Syurga. (Al-hadis dari kitab Al barkah).
4. Berkata Siti A`isyah
r.a.h, bulan yang lebih dikasihi oleh Rasullullah s.a.w ialah bulan Sya`ban.
5. Sabda Nabi s.a.w:
Sya`ban adalah bulanku, dan Ramadhan adalah bulan umatku. Sya`ban ialah
mengkifaratkan (menghapuskan) dosa dan Ramadhan ialah menyucikan dosa (jasmani
rohani).(Al-Hadis).
6. Sabda Nabi s.a.w :
Bahawa puasa Sya`ban kerana membesarkan Ramadhan, siapa yang berpuasa tiga hari
daripada bulan Sya`ban, kemudian dia berselawat atasku beberapa kali sebelum
berbuka puasa, maka diampunkan oleh Allah dosanya yang telah lalu, diberkatkan
rezekinya. Antara lain sabdanya lagi: Bahawa Allah ta`ala membukakan pada bulan
itu tiga ratus pintu rahmat. (Al-Hadis).
7. Sabda Rasullullah s.a.w:
Dinamakan Sya`ban kerana padanya terdapat kebajikan yang amat banyak, dan puasa
yang lebih afdal sesudah (selain) Ramadhan ialah puasa bulan Sya`ban.(Al-hadis).
8. Sabda Nabi s.a.w: Bahawa
kelebihan Rejab atas bulan -bulan yang lainnya seperti kelebihan Quran ke atas
segala Qalam. Kelebihan Sya`ban atas bulan-bulan yang lainnya seperti kelebihan
atas segala ambia(nabi-nabi). Kelebihan Ramadhan atas bulan yang lain seperti
kelebihan Allah atas segala makhluknya. (Al-hadis)
9. Bulan Sya`ban, keagungan
malamnya dengan malam nisfu Sya`ban, sepertimana keagungan Rejab dengan malam
Israk Mikrajnya, dan keagungan Ramadhan dengan malam Lailatul Qadarnya. Maka
pada malam Nisfu Sya`ban telah datang Jibril kepada Rasul s.a.w lalu katanya:
Angkat kepalamu kelangit, itulah malam yang dibukakan Allah padanya tiga ratus
pintu rahmat dan diampunkan Allah sekalian orang yang tiada menyekutukan
(syirik) dengan-Nya sesuatu, kecuali tukang nujum, kekal di dalam zina, kekal
minum arak, durhaka terhadap ibubapa.(Al-hadis)
10. Sabda Nabi s.a.w: Allah
menilik kepada hamba-Nya pada malam Nisfu Sya`ban maka diampunkan dosa segala
makhluknya melainkan orang syirik dan orang yang tiada bertutur dengan
saudaranya.(Al-hadis)
11. Sabdanya lagi: Apabila
pada malam Nisfu Sya`ban maka berjagalah kamu pada malamnya bersembahyang,
beribadah, dan puasa kamu pada siangnya. Allah berfirman: Adakah orang yang
meminta ampun maka Aku ampunkannya, adakah orang yang ditimpa bala` Aku
a`fiatkannya. Adakah orang yang meminta rezeki maka Aku rezekikannya,
demikianlah pertanyaan lainnya sehingga keluar fajar subuh. (Al-hadis)
12. Tersebut dalam kitab
Al-berkat: Bahawa jin, burung, binatang-binatang buas, ikan di laut berpuasa
mereka pada hari nisfu Sya`ban.
13. Tersebut di dalam
kitab: Bahawa Jibril bersungguh-sungguh pada malam Nisfu Sya`ban menunaikan
segala hajat. Maka datanglah Jibril kepada Rasullullah s.a.w kali keduanya,
katanya: Ya Muhammad, gembirakanlah kamu bahawa Allah ta`ala telah mengampunkan
segala umatmu orang yang tiada menyekutukan-Nya sesuatu. Angkatkan kepalamu,
lalu Rasullullah s.a.w pun mengankatkan kepalanya, tiba-tiba terbuka segala
pintu syurga. Dalam riwayat yang lain pula menyatakan terbuka segala pintu
langit. Pada pintu langit pertama malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang
rukuk pada malan ini. Pada pintu langit yang kedua, malaikat menyeru kemenangan
bagi orang yang sujud pada malam ini. Pada langit yang ketiga, malaikat menyeru
kemenangan bagi orang yang minta doa pada malam ini. Pada pintu langit keempat,
malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang berzikir pada malam ini. Pada pintu
langit kelima, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang menangis takutkan
Allah subhanahuwa ta`ala pada malam ini. Pada pintu langit keenam, malaikat
menyeru kemenangan bagi orang yang mengerjakan amal kebajikan pada malam ini.
Dan pada pintu langit yang ketujuh, malaikat menyeru kemenangan bagi orang yang
meminta, maka dikurniakan permintaannya itu, dan pada pintu langit yang kelapan
malaikat menyeru: Adakah orang yang meminta ampun maka diampunkan baginya.
Bertanya aku kepada Jibril, sampai bilakah terbukanya semua pintu ini (diterima
doa), Jibril menjawab: Sehingga naik fajar subuh. Dan katanya lagi: Pada malam
ini dimerdekakan hamba-Nya yang mukmin lelaki perempuan dari api neraka
sebanyak bulu kambing bani kalab (bani kalab diantara orang-orang arab yang
paling banyak memelihara kambing). Dalam satu riwayat yang lain pula bahawa Allah
memerdekakan hamba-Nya daripada neraka sebanyak bintang-bintang dilangit dan
sebanyak hari dunia dan malamnya. Pada malam inilah dihantarkan Allah akan
jibril ke Syurga untuk menghiasi syurga.
14. Barangsiapa membaca,
(Tiada tuhan melainkan
Allah, tiada kami sembah melainkan Dia, dengan ikhlas lagi teguh atas dasar
agama (tauhid) walaupun dibenci oleh orang-orang kafir)
ditulis Allah baginya
ibadat seribu tahun, dan dihapuskan daripadanya dosa seribu tahun, dan
keluarnya dari kubur, mukanya seperti bulan purnama dan ditulis pada Allah
taa`la orang benar siddiq (orang yang benar).
15. Allah tidak akan
mengampunkan dosa pada malam nisfu sya`ban enam orang;
1)
Orang yang kekal minum arak
2)
Orang yang derhaka kepada ibubapa
3)
Orang yang kekal dalam zina
4)
Orang yang banyak berkelahi
5)
Orang yang melakukan perjualannya dengan sumpah yang dusta
6)
Orang yang memperlakukan orang supaya kelahi (Al-hadis).
16. Riwayat daripada Usman,
sabda baginda Rasullullah s.a.w: Pada malam nisfu Sya`ban setelah berlaku 1/3
malamnya, Allah turun ke langit dunia lalu berfirman: Adakah orang-orang yang
meminta maka Aku perkenankan permintaannya, adakah orang yang meminta ampun
maka Aku ampunkannya, adakah orang yang bertaubat maka Aku taubatkan akannya,
dan diampunkan bagi sekalian orang mukmin lelaki perempuan, melainkan orang
yang berzina atau orang yang berdendam marah hatinya kepada saudaranya.
(Al-hadis)
17. Sabda Nabi s.a.w: Ya
A`isyah! Adakah engkau izinkan aku sembahyang pada malam ini? Jawab A`isyah:
Ya, aku izinkan lalu nabi pun bersembahyanglah sepanjang malam nisfu Sya`ban itu,
beliau sujud terlalu lama masanya, sehingga aku sangka beliau telah diambil
ruhnya (mati), lalu aku tutupkannya dengan kain, aku letakkan tanganku di atas
dua tapak kakinya. Maka bergerak ia, gembiralah aku kerana beliau masih
bernafas lagi, dan aku dengar beliau membaca di dalam sujudnya:
(Aku berlindung dengan
kemaafan Engkau daripada siksa Engkau, dan aku berlindung dengan keredhaan
Engkau daripada kehinaan Engkau, dan aku berlindung dengan Engkau daripada
kejahatan yang datang daripada Engkau, aku tiada terhingga memuji Engkau
sepertimana Engkau memuji diri Engkau). Nabi menyuruh A`isyah mengamalkan doa
ini dalan sujud. (Al-hadis)
18. Sesiapa sembahyang pada
malam nisfu Sya`ban daripada umat Muhammad s.a.w terlebih afdal daripada
ibadatnya 400 tahun. Demikian Allah memberi tahu kepada nabi Isa a.s lalu Isa
a.s pun berdoa kepada tuhan: “Mudah-mudahan aku daripada umat Muhammad s.a.w”.
(Nabi Isa akan diturunkan
di akhir zaman untuk menegakkan syiarkan Islam menentang orang musyrikin,
insyaallah).
19. Telah disebut empat
malam istimewa tentang beribadah (berbuat amal kebajikan), iaitu malam Nisfu
Sya`ban, malam Aidil Fitri pertama, malam Aidil Adha pertama, dan malam Arafah.
Disambungkan malam Lailatul Qadar kerana bahawasanya malam rahmat dan merdeka daripada
api neraka. Sesiapa sepanjang malam Ramadhan atau sepanjang sepuluh yang
terakhir daripada Ramadhan umat Muhammad s.a.w berlumba-lumba dalam ibadah
dengan berjaga malamnya. Demikian pula saat mustajab doa pada hari jumaat.
Demikian pula disambungkan Asma Allah Al Azdhim (nama Allah yang teragung) di
dalam Asmaul Husna yang amat mustajabkan doa padanya.
Amalan pada malam Nisfu
Sya`ban.
Apabila telah selesai
sembahyang Maghrib, hendaklah bi baca surah “Yaa Sinn” dengan niatkan mohon
panjangkan umur dalam mentaati Allah, kemudian dibaca doa-doanya. Kemudian
dibacakan surah “Yaa Sinn” pula kali keduanya dengan diniatkan diluaskan Allah
rezekinya yang halal dan diberkati-Nya, kemudian lalu dibacakan doa-doanya.
Kemudian dibacakan surah “Yaa Sinn” kali ketiganya pula serta diniatkan minta
ditetapkan iman dan mati dalam iman, kemudian dibacakan doa-doanya.
Bersama
lah kita menyebarkan dan menyeru kepada teman dan taulan tentang kelebihan berada di bulan
Syaaban,,, Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani..
Rebutlah setiap ruang dan peluang yang Allah berikan kepada kita untuk menimba
sebanyak mungkin ilmu Allah dan mendekatkan diri kepada Allah,,, Insyaallah,
hidup kita akan lebih di berkati,,, Wassalam
adiadzroy@gmail.com